 | Jawapan | : |  |
 | Panel mengucapkan tahniah kepada anda yang sudi berkongsi maklumat mengenai perkara di atas.Berikut adalah satu Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam.
1. PENDAHULUAN
1.1 Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah mengadakan majlis-majlis perayaan sama ada di peringkat nasional, negeri, daerah dan lain-lain. Perayaan tersebut adalah Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Keamatan, Hari Gawai dan juga Hari Krismas. Ia disambut melalui konsep penganjur "rumah terbuka nasional," bertujuan meningkatkan persefahaman dan sikap toleransi di kalangan masyarakat pelbagai kaum serta fahaman agama di negara ini.
1.2 Persoalan timbul di kalangan masyarakat Islam tentang apakah hukum turut merayakan perayaan agama lain. Ada pendapat yang mengatakan hukum merayakan hari perayaan agama lain adalah haram. Mereka bimbang perbuatan tersebut boleh menjejaskan akidah atau secara tidak langsung akan membawa pemahaman bahawa semua agama adalah sama.
1.3. Dalam mengatur hubungan antarabangsa, kaum dan agama di negara ini agar tidak timbul kekeliruan dan prasangka dalam pergaulan khususnya bagi umat Islam, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam dalam Muzakarahnya pada 1 dan 2 oktober 1970 yang secara khusus menyentuh mengenai rumah ibadat dan telah memutuskan;
"Pembesar-pembesar Islam tidak boleh merasmi pembukaan rumah-rumah ibadat orang-orang bukan Islam kecuali difikirkan kalau tidak berbuat demikian akan mendatangkan perpecahan dan permusuhan kaum dengan syarat tidak menyertai upacara ibadat dengan mereka"
1.4 Pada dasarnya terdapat dua pandangan berbeza dari sudut hukum tentang orang Islam turut merayakan hari perayaan orang bukan Islam. Pandangan yang membenarkan orang Islam merayakan hari perayaan orang Islam adalah berdasarkan pandangan berikut;
i. Kekeliruan dari sudut hukum tentang merayakan hari
perayaan agama lain atau dalam kinteks masa kini
"rumah terbuka nasional" adalah berpunca daripada
fahaman yang kurang jelas terhadap maksudmerayakan
atau mengucapkan ucapan selamat hari kebesaran
kaum lain itu. Jika maksud merayakan itu adalah ikut
serta berhari raya, merelai kekufuran orang bukan Islam
dan bermuamalah dengan mereka atas nama agama
mereka ia adalah bercanggah dengan ajaran Islam.
Sebaliknya jika merayakan hari perayaan kaum lain
sekadar hanya ikut bercuti pada hari itu atau menyertai
perayaan mereka atas tujuan merapatkan perhubungan
sesama manusia maka ia adalah di luar daripada
konteks meraikan akidah mereka atau merelakan
agama mereka ( Hukum Merayakan Perayaan
Kaum-kaum Bukan Islam, Dr. Abdul Hayei bin Syukor,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya).
ii. Menurut Dr. Ahmad al-Syarbashi, seseorang Islam
yang turut menyertai hari perayaan orang bukan Islam
setelah memastikan majlis yang dihadiri itu tidak
mengandungi perbuatan yang bercanggah dengan
akidah atau upacara yang bercanggah dengan ajaran
Islam seperti penyajian arak dan sebagainya (Dr.
Ahmad al-Syarbashi, Yas'alunaka Fid Din Walhayah,
hal 390, jilid 4, Darul Jail, Beirut).
1.5 Hukum yang melarang orang Islam turut merayakan perayaan orang bukan Islam berdasarkan pandangan berikut;
i. Abu al-Qasim Hibbatullah bin Al- Hussain bin Mansur
al-Tabari berkata tidak harus bagi orang Islam
menghadiri perayaan orang bukan Islam kerana
kemungkaran mereka (Ibn Qayyim Al-Jauziyah, Ahkam
Ahl al-Zimmah, jilid 1, hal 156, Dar al-kutub al-Ilmiah,
Beirut).
ii. Menurut Fatwa Lajnah Daaimah, kunjungan terhadap
perayaan orang bukan Islam tidak boleh dilakukan
kerana ia akan melibatkan orang yang melakukannya
kepada dosa (al-Syeikh Ahmad bin Abdul Razak,
Fatawa al-Lujnah al-Da'imah lil Buhuth al-Ilmiah wal
Ifta', jilid 3, hal 436, Dar al-Muaiyyad, Riyadh).
1.6 Berdasarkan persoalan hukum tersebut maka pihak yang menganjurkan majlis tersebut perlu meneliti adakah perayaan yang dianjurkan mempunyai unsur agama atau semata-mata bercirikan kebudayaan. Kedua-dua unsur ini perlu diteliti dalam memastikan sambutan perayaan tersebut tidak menyinggung sensitiviti keagamaan terhadap orang awam yang menyertainya.
2. TAKRIFAN
2.1 Simbul
Maksud simbul dalam garis panduan ini adalah
sesuatu yang mewakili sesuatu yang lain, lambang,
tanda (Kamus Dewan).
2.2 Ciri
Maksud ciri dalam garis panduan ini adalah sifat
(unsur, tanda) yang khusus pada sesuatu (yang
membezakannya dengan yang lain) (Kamus Dewan).
2.3 Tunduk
Maksud tunduk dalam garis panduan ini adalah kepala
atau muka condong ke hadapan (Kamus Dewan ).
2.4 Upacara
Maksud upacara dalam garis panduan ini adalah
majlis menurut adat (kebiasaan, agama), keramaian
atau peralatan (menurut adat) (Kamus Dewan).
2.5 Budaya
Maksud budaya dalam garis panduan ini adalah
tamadun, peradaban, cara berkelakuan (berfikir dsb),
kemajuan (akal budi), kebudayaan (Kamus Dewan).
2.6 Dakyah
Maksud dakyah dalam garis panduan ini adalah
penyiaran (penyebaran) sesuatu ideologi (doktrin,
pendapat dsb) untuk mendapat sokongan, propaganda
(Kamus Dewan).
2.7 Mempersenda
Maksud mempersenda dalam garis panduan ini adalah
mempermainkan (dengan gurau senda),
memperolok-olokkan, mengejekkan (Kamus Dewan).
2.8 Sensitiviti
Maksud sensitiviti dalam garis panduan ini adalah
perihal sifat mudah merasai sesuatu (mudah
tersinggung, bergerak balas dsb) (Kamus Dewan).
2.9 Kriteria
Maksud kriteria dalam garis panduan ini adalah
beberapa ukuran (asa pertimbangan) untuk
menentukan nilai (Kamus Dewan).
3. KRITERIA PERAYAAN ORANG BUKAN ISLAM YANG BOLEH DIHADIRI OLEH ORANG ISLAM
3.1 Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam
boleh dihadiri oleh orang Islam, beberapa kriteria
utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak
bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria
tersebut adalah seperti berikut;
3.1.1 Majlis tersebut tidak disertakan dengan
upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
Maksud "bertentangan dengan akidah
Islam" ialah sesuatu perkara, perbuatan,
perkataan atau keadaan yang jika dilakukan
menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.
Contohnya;
i. Menyertakan simbol-simbol agama seperti
salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas
dan sebagainya.
ii. Menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.
iii. Meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama
pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota
tubuh.
iv. Memberikan ucapan atau isyarat yang
berbentuk pujian kepada agama orang bukan
Islam.
v. Tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah
menghormati upacara agama orang bukan
Islam.
3.1.2 Majlis tersebut tidak disertakan dengan
perbuatan yang bertentangan dengan
syarak.
Maksud "bertentangan dengan syarak"
ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan
atau keadaan yang jika dilakukan akan
bertentangan dengan ajaran Islam yang
diamalkan oleh masyarakat Islam.
Contohnya:
i. Memakai pakaian berwarna merah seperti
Santa Claus atau pakaian lain yang
melambangkan agama;
ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang
memabukkan dan seumpamanya;
iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti
loceng gereja, pokok krismas, kuil atau
memecah kelapa;
iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian,
penyembahan, pemujaan, khurafat dan
sebagainya.
3.1.3 Majlis tersebut tidak disertakan dengan
"perbuatan yang bercanggah dengan
pembinaan akhlak dan budaya masyarakat
Islam" di negara ini.
Maksud "bercanggah dengan pembinaan
akhlak dan budaya masyarakat Islam" ialah
sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau
keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan
dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat
Islam negara ini yang berpegang kepada ajaran
Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Contohnya:
i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;
ii. Berpakaian yang menjolok mata;
iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai seni
kata berunsur lucah serta pemujaan;
iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu
cantik, laga ayam dan sebagainya.
3.1.4 Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang
boleh "menyentuh sensitiviti masyarakat Islam".
Maksud "menyentuh sensitiviti masyarakat Islam"
ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau
keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung
perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan
mereka.
Contohnya:
i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah
keagamaan bukan Islam;
ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;
iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;
iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan
pegangan agama masyarakat Islam.
3.1.5 Pihak penganjur dan orang ramai diminta
mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama
sebelum menganjur atau menghadiri majlis
perayaan orang yang bukan beragama Islam.
. |
. |